RAKAN mengambil kesempatan cuti hari raya untuk mengunjungi pusara Allahyarham Hasni Hardi Parlan. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


“KAMI sekeluarga patah hati nak ambil kisah perkembangan lanjut dalang MH17 kerana kes ini berlarutan terlalu lama,” kata Parlan Mesiran, 65, bapa kepada salah seorang mangsa MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, 17 Julai 2014.

Anak Parlan, Hasni Hardi Parlan, 31, antara 298 penumpang termasuk 15 anak kapal pesawat

Penerbangan Malaysia (MAS) itu.

Parlan berkata, pada zaman serba canggih ini pelbagai perkembangan berlaku di dasar laut, udara dan pergerakan di bumi boleh diperoleh sekelip mata terutama bagi membantu siasatan dan penyelidikan.

“Kami faham kesulitan dilalui pihak berkenaan dan menghargai pelbagai usaha dilakukan mereka selama ini, namun lima tahun adalah tempoh terlalu lama untuk menahan sifat ingin tahun.

“Cakap lebih pun tak guna dan hanya mampu memendam perasaan setiap tahun tibanya tarikh 17 Julai, kami sering terbayangkan laporan berita luar negara bagaimana satu persatu jasad mangsa yang jatuh dari langit termasuk arwah ditemui ketika itu.

“Pengurusan MAS ada menelefon dan memberikan emel mengenai perkembangan siasatan yang berlangsung di Belanda, namun kami tidak dapat menghadirinya,” katanya ketika ditemui di Batu Anam, Segamat, hari ini.

Menurutnya, walaupun reda dengan kejadian itu mereka sekeluarga tetap mengharapkan hukuman setimpal dijatuhkan secepat mungkin kepada dalang kejadian berkenaan.

“Ramai di antara keluarga yang senasib kerap berhubung dan meluahkan perasaan tertanya-tanya sejak lima tahun lalu, kini kami mengharapkan balasan setimpal dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Sementara itu, ibu arwah, Asiah Rejikon, 61, sentiasa menyediakan air tebu dan ayam masak merah ketika berbuka puasa, Ramadan lalu, kerana ia antara kegemaran arwah ketika berbuka puasa dan hidangan Hari Raya.

“Saya terlalu rindukannya, kejadian pula berlaku pada bulan Ramadan. Selain doa dan menziarah pusaranya, inilah cara saya untuk melepaskan rindu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 3:29 PM