LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Petah Wazzan Iskandar
am@hmetro.com.my


SERAMAI 29 orang sudah menerima rawatan selepas mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital di Pasir Gudang, Johor Bahru, dipercayai akibat pencemaran udara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 10 pagi tadi, semua mangsa itu sudah mendapatkan rawatan iaitu 21 perempuan dan lapan lelaki termasuk 16 orang daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM).

Beliau berkata, daripada 16 pelajar SATM, seramai 14 pelajar dan dua dewasa, manakala 13 orang lagi adalah dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4) di mana kesemuanya adalah pelajar.

“Seramai 14 orang mangsa sudah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 orang mangsa diberi rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru di mana 6 daripadanya sudah dimasukkan ke wad.

“Kesemua pesakit kini dalam keadaan stabil. Tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dicatatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pihaknya tidak menolak kemungkinan gejala sesak nafas dan muntah dialami 15 murid (SATM) di Pasir Gudang, Johor hari ini seakan sama dengan gejala kesan pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini.

Ia susulan semua mangsa mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital, dipercayai akibat pencemaran udara.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian yang berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pada pagi ini bagi menerima dan merawat lain-lain mangsa yang mungkin terkesan susulan daripada kejadian ini,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 3:22 PM