PASUKAN keselamatan termasuk bomba pegawai serta pegawai perubatan berada di Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang selepas menerima laporan murid sekolah mengalami sesak nafas dan sakit kepala dipercayai terhidu bau gas bocor. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


HANYA enam murid perempuan Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, ditahan di wad biasa Hospital Sultan Ismail (HSI), namun mereka kini dilaporkan stabil.

Enam mangsa itu daripada 15 mangsa termasuk dua dewasa yang mengalami sesak nafas dan muntah-muntah, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, enam murid yang masih menerima rawatan di hospital itu berusia antara sembilan hingga 10 tahun.

“Sehingga 6 petang semalam, seramai 15 pesakit mendapat rawatan di HSI terdiri daripada 13 murid dan dua dewasa. Daripada 13 murid itu, enam murid perempuan dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Operasi (BGO) di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di Pasir Gudang, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad.

Ditanya adakah kemungkinan insiden itu disebabkan keracunan makanan, beliau berkata, siasatan dan pemantauan masih dijalankan dan pihaknya masih menunggu laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berhubung masalah kesihatan dialami mangsa.

Berhubung operasi sekolah itu Ahad ini, Mohd Khuzzan berkata, semua perkembangan akan diputuskan esok.

“Sekiranya tiada insiden yang menjejaskan kualiti udara sepanjang hari ini, keputusan keseluruhan berhubung insiden ini akan dibuat menerusi siaran media, esok,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 2:07 PM