BAKRI Md Razali bersama isteri dan seorang anak mereka dihadapan reban ayam yang dijadikan tempat tinggal untuk berteduh di Kampung Badang, Mukim Bakai, Baling. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


EMPAT beranak menjadikan bekas reban ayam sebagai tempat berteduh daripada panas dan hujan sejak enam bulan lalu kerana dihimpit kemiskinan hidup dan tidak mampu membina rumah yang lebih sempurna.

Bakri Md Razali, 45, dan isteri, Rahimah Tajudin, 35, serta anak mereka Mohd Hafiz, 17, dan Nur Syifahuda, 9, terpaksa berteduh di reban ayam kerana tidak ada pilihan selepas keluar dari rumah sewa.

Menurutnya, dia mengambil keputusan tinggal di situ kerana berdekatan rumah ibu mentua, Khadmah Ahmad, 63.

“Oleh kerana dihimpit kemiskinan, kami tinggal di reban itu hampir enam bulan dan tidak ada rezeki lagi untuk membina rumah yang lebih selesa.

“Saya hanya mengambil upah dengan menoreh getah milik orang dengan pendapatan tidak tetap dan tidak mampu mengumpul wang untuk membina rumah.

“Saya juga mengutip kayu hutan dan barangan terbuang untuk membesar tempat tinggal kerana bekas reban ayam itu terlalu sempit dengan keluasan empat meter sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Badang, Mukim Bakai, di Baling, hari ini.

Katanya, keadaan juga tidak selesa kerana berlubang di setiap penjuru dan pernah dimasuki binatang berbisa.

“Kami juga menumpang mandi dan menggunakan bekalan elektrik di rumah ibu mentua.

“Kalau hujan air melimpah masuk dan terpaksa berlari berteduh di rumah ibu mentua kerana atap zink sudah reput dan berlubang, ” katanya.

Menurutnya, dia bekerja seorang diri untuk menyara keluarga kerana isterinya tidak dapat membantu menambah pendapatan keluarga kerana menghidap sakit kulit dan menggelupas.

“Isteri sakit sejak 10 tahun lalu dan doktor mengesahkan isteri menghidap sakit ‘Psoriasis’ dan tidak boleh panas dan sejuk berlebihan kerana kulitnya akan gatal dan sakit serta kemerahan,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulur sumbangan kepada Rahimah Tajudin, nombor akaun Maybank 157018662156.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 1:54 PM