AZAM. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PASUKAN petugas khas akan dibentuk bagi mendapatkan semula aset bernilai kira-kira RM20.74 bilion dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC International) di luar negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan itu akan diketuai Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta SPRM.

“Kami dalam proses mewujudkan pasukan khas berkenaan dan ia akan diumumkan oleh GIACC kelak. GIACC mempunyai pasukan yang bagus.

“Pasukan ini kelak akan melihat dengan teliti di mana aset berkenaan berada,” katanya dalam sidang media khas berkaitan 1MDB di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya enggan mendedahkan di mana aset itu berada, namun ia ada kaitan dengan 1MDB dan sebahagiannya membabitkan SRC International di beberapa negara.

Azam berkata, SPRM akan berbincang dengan pelbagai pihak khususnya membabitkan undang-undang di luar negara.

“Kita perlu berbincang dengan banyak negara. Kita tidak boleh menggunakan undang-undang negara ini untuk mendapatkan semula aset berkenaan. Sesetengah negara mempunyai proses undang-undang sendiri yang perlu kita patuhi.

“Dalam mendapatkan semula aset berkenaan, ia tidak semestinya membabitkan suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 12:18 PM