Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


AKIBAT terpedaya dengan janji manis dan cinta sejati, wanita tidak menyangka dipergunakan bekas teman lelakinya sehingga gambar separuh bogelnya tersebar melalui laman sosial sejak hubungan mereka putus April lalu.

Wanita berusia 30-an yang bekerja sebagai penjawat awam itu dikatakan memberikan telefon bimbitnya kepada pasangannya itu disebabkan cinta.

Namun apabila hubungan mereka putus, wanita itu meminta semula telefon bimbitnya daripada lelaki itu tetapi lelaki itu enggan sebaliknya menggunakan telefon bimbit wanita itu untuk melayari akaun Twitter, Facebook (FB) dan WhatsApp wanita berkenaan.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff selepas wanita itu datang ke pejabatnya semalam untuk melaporkan kejadian yang berlaku.

Beliau berkata, wanita itu mendakwa lelaki itu menyebarkan gambar separuh bogelnya yang mengaibkan yang ada dalam simpanan telefon bimbitnya itu kepada rakan-rakannya melalui WhatsApp, Twitter dan FB sehingga memalukan dirinya.

“Saya difahamkan mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana mengaibkan dirinya dan menjejaskan tugasnya sebagai penjawat awam.

“Berikutan itu CAKE akan berusaha untuk memanjangkan kes ini dan akan cuba meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyekat semua rangkaian laman sosial supaya gambar berkenaan tidak tersebar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusrizal berkata, setakat ini dia dimaklumkan talian telefon bimbit berkenaan sudah disekat.

Katanya, pihaknya akan cuba membantu mangsa dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan gambar separuh bogelnya tersebar lebih meluas.

“Ini adalah kes pertama yang kami terima mengenai kes penyebaran gambar separuh bogel melalui telefon bimbit dan kita mengesyaki banyak lagi kes seperti ini, namun tidak ramai yang berani tampil untuk membuat laporan.

“Kita akan cuba membantu mangsa yang membuat laporan seperti ini selain menasihatkan orang ramai terutamanya wanita supaya tidak mudah menyerahkan telefon bimbit kepada sesiapa termasuk teman lelaki sendiri kerana ia peribadi dan bimbang kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 10:01 AM