ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap pelajar sekolah yang menunggang motosikal di tepi stesen minyak di Taman Tunku Maheran. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SEKUMPULAN pelajar sekolah yang berkumpul di tepi stesen minyak di Taman Tunku Maheran, di Jitra, terkejut apabila melihat kehadiran polis yang melakukan pemeriksaan mengejut, semalam.

Kesemua mereka yang berusia sekitar 13 hingga 17 tahun itu berkumpul di kawasan stesen minyak itu selepas tamat waktu persekolahan kira-kira 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan unit risikan khas Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu diketuai Inspektor Wan Mazuan Wan Mahmud melakukan pemeriksaan mengejut itu di lokasi terbabit.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa penunggang motosikal di bawah umur dan pelajar sekolah yang baru tamat sesi persekolahan dilihat berkumpul di sekitar kawasan stesen minyak itu sehingga mengganggu laluan pengguna jalan raya yang lain.

“Aduan yang kami terima sebelum ini melaporkan sekumpulan remaja dipercayai pelajar sekolah yang membuat kacau di kawasan itu dengan mengeluarkan bunyi bising dari ekzos motosikal yang dinaiki sehingga mengganggu ketenteraman orang lain.

“Berikutan itu, hasil operasi khas yang dijalankan oleh pihak polis, sebanyak 30 saman dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan jalan raya kepada penunggang motosikal yang diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, antara kesalahan yang dilakukan termasuklah brek tidak berfungsi, tidak mempunyai lesen, menunggang di bawah umur, tidak mempunyai cukai jalan dan insurans, tidak memakai topi keledar, aksesori, nombor pendaftaran motosikal, serta cermin sisi.

Bagaimanapun katanya, tiada motosikal disita atau penunggang yang ditahan dalam operasi itu.

Sehubungan itu katanya, pihaknya menyeru kepada ibu bapa atau waris supaya melarang anak-anak mereka supaya tidak menunggang motosikal tanpa lesen selain menasihati mereka yang menunggang motosikal ke sekolah sentiasa memakai topi keledar (bagi yang berlesen memandu) untuk keselamatan diri.

“Tindakan saman akan diambil oleh polis sekiranya mereka masih berdegil dan operasi khas ke atas pelajar sekolah akan dijalankan secara bersepadu dalam masa terdekat.

“Operasi tamat pada 3 petang semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 9:20 AM