Suami Jaimah, Mohd Harun (kiri) dan anak mereka, Yusri antara mangsa culik dalam kejadian Selasa lalu. FOTO Ihsan Bernama
BERNAMA

“SAYA hilang suami dan satu-satunya anak kami selepas mereka diculik,” kata Jaimah Ajirul, isteri seorang daripada mangsa culik di perairan Tambisan, Lahad Datu Selasa lalu.

Jaimah, 52, berkata, suaminya Mohd Harun Asparin, 55, atau dikenali sebagai Apak ke perairan Tambisan Ahad lalu selepas mendapat arahan daripada majikannya untuk turun ke laut, bekerja.

“Anak saya Yusri atau Ekong, 16, juga ikut bapanya turun ke laut untuk membantu menambah pendapatan keluarga.

“Dia mula ikut bapanya sejak tiga bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu, Semporna hari ini.

Jaimah berkata. dia kini turut hilang sumber pendapatan selepas suami serta anaknya diculik.

Menurutnya, dia hanya berserah kepada Allah SWT mengenai nasib dirinya serta keselamatan suami dan anak.

“Saya hanya mengikuti perkembangan kes ini melalui berita yang dilaporkan, saya tidak tahu mahu bergantung harap dengan siapa lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi isteri mangsa culik yang kini sarat mengandung lapan bulan berharap suaminya, Kassim Ablain, 21, pulang sebelum zuriat sulung mereka dilahirkan Julai ini.

Noraini Gamal, 17, yang ditemui di Kampung Selamat di sini berkata, dia tidak lalu makan memikirkan keadaan suami yang kini tidak diketahui di mana selepas insiden penculikan itu.

“Saya tidak lalu makan kerana sedih memikirkan nasib suami yang sepatutnya pulang pada hari kejadian (Selasa lalu),” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Kassim, Mac tahun lalu.

Noraini berkata, kali terakhir berjumpa suaminya itu sebelum dia berangkat ke Tambisan Lahad Datu dan sempat merayakan Aidilfitri selama empat hari.

“Tak sangka kejadian ini berlaku dalam hidup kami, kami bukan orang kaya sehingga mahu kena culik, sebab itu kami harapkan ihsan kerajaan untuk membantu kami membebaskan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Nasra Nuli, 26, kakak kepada Abdul Nasir Nuli, 21, (Inai) iaitu seorang lagi mangsa culik berkata, ibu mereka pengsan selepas mendapat perkhabaran Inai diculik.

“Ibu saya kini sakit, sebelum dia (Inai) diculik, dia selalu suruh Inai cepat balik ke Semporna, tapi tidak sangka dia diculik,” katanya.

Selain empat nelayan itu, enam lagi yang diculik ialah Abdul Nazar Ahmad (Bongosan); Ogan Utuk; Samsul Basil; Aslan Sapri; Kando dan Azmai Paisal (Memek).

Dalam kejadian 2 pagi Selasa lalu, 10 daripada 16 nelayan yang menaiki dua bot diculik kumpulan bersenjata di perairan Tambisan, berhampiran Felda Sahabat.

Berita berkaitan

Bot 'langgar' sempadan perairan Malaysia, Filipina

Polis tunggu panggilan penculik

Polis Sabah mula siasatan kes culik

Nelayan diculik bukan rakyat Malaysia [METROTV]

10 nelayan diculik?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 12:32 AM