HAFILAH (kanan) menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada Norliza (tengah) dan Siti Khatijah di Petaling Jaya, hari ini. FOTO Salhani Ibrahim.
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


BALU bekas eksekutif kewangan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), yang meninggal dunia dalam tidur baru-baru ini, menarik nafas lega apabila menerima faedah pencen bulanan seumur hidup oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Faedah bulanan RM1,369.87 sebulan itu diterima Norliza Ismail, 56, selepas suaminya, Allahyarham Rahmat Mohd Yusof, 56, meninggal dunia di rumah pusaka keluarganya di Ayer Paabas, Melaka, 7 Jun lalu.

Turut menerima faedah bulanan itu adalah anak bongsunya iaitu Siti Khadijah, 20, sebanyak RM913.25 sebulan sehingga berusia 21 tahun atau diteruskan sehingga tamat pengajian ijazah sarjana muda.

Selain itu, Norliza turut menerima bayaran faedah pengurusan mayat RM2,000 disampaikan Penolong Pengarah (Faedah) Negeri Selangor, Hafilah Abdul Ghani di Majlis Penyerahan Cek Faedah Pengebumian di rumahnya di Petaling Jaya, semalam.

Norliza yang juga bekerja sebagai guru tadika berkata, dia terkejut apabila pihak PERKESO melalui skuad prihatin memaklumkan dirinya serta anak layak menerima faedah bulanan itu.

“Selama ini, saya fikir pencarum PERKESO hanya layak menerima apabila terbabit dengan kemalangan di tempat kerja saja.

“Tambahan pula, suami sudah tidak berkerja selepas mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS) pada 2017.

“Faedah ini secara langsung dapat membantu perbelanjaan kami sekeluarga tambahan pula, Siti Khadijah sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Bukan saja saya dapat faedah itu, malah Siti Khadijah turut menerima faedah sama. Faedah itu sebanyak membantu menampung dia ketika belajar di sana,” katanya.

Selain Norliza dan Siti Khadijah, Allahyarham Rahmat turut meninggalkan seorang lagi anaknya, Siti Nur Aisyah, 26.

Sementara itu, Hafilah berkata, balu Allahyarham Rahmat layak menerima faedah keilatan dan penakat susulan menepati syarat umur iaitu bawah 60 tahun walaupun sudah tidak berkerja lagi.

“Selain itu, PERKESO turut melihat kelayakan caruman terdahulu sebelum membuat pengiraan faedah berkenaan. Caruman dibuat arwah menepati kedua-dua syarat itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:06 PM