Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SUAMI isteri dan remaja perempuan berusia 13 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya , hari ini, atas pertuduhan mendera dua beradik di Pusat Bandar Puchong, dekat Serdang, Sabtu lalu.

Tertuduh, S Gopal, 33, dan isterinya R Rani, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah manakala remaja perempuan itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Selepas tamat prosiding, suami isteri itu menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh, manakala remaja perempuan yang berdiri di luar kandang tertuduh dilihat tenang.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memukul dua beradik berusia enam dan tujuh tahun menggunakan kayu sekuriti, paip getah dan wayar kabel pada bahagian kepala, muka, badan, tangan dan kaki selain meletakkan garpu serta pisau panas pada bahagian punggung, tangan, kaki dan tapak kaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong, 2.45 petang, pada 15 Jun lalu.

Pasangan itu turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain, melakukan pengabaian terhadap kedua-dua mangsa sama sehingga menyebabkan dua beradik itu mengalami kekurangan zat yang kronik dan menghidap anemia di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Suami isteri dan remaja perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh dikhuatiri mengganggu kedua-dua mangsa yang kini dirawat di Hospital Serdang.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu supaya diberikan jaminan kerana mereka mempunyai bayi berusia tujuh bulan dan memaklumkan isterinya itu sedang hamil.

Hakim Norshila kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin kepada Gopal namun tiada jaminan diberikan kepada isterinya kerana penjamin tidak hadir.

Selain itu, Hakim Norshila pula menetapkan kanak-kanak itu dihantar ke Asrama Bahagia, Kuala Lumpur selain tarikh 25 Julai ini untuk sebutan laporan akhlak.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 2:57 PM
SUAMI isteri dibawa ke mahkamah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali