Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


DUA lelaki ditahan orang ramai ketika cuba mencuri motosikal di Jalan P, Ramlee, Georgetown, semalam.

Dalam kejadian 5.20 petang itu, dua suspek masing-masing berusia 24 dan 29 tahun itu turut cedera di muka dan kepala selepas bergelut dengan orang ramai kerana cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengatakan mereka berjaya menahan dua suspek yang cuba mencuri motosikal di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui satu paket lutsinar mengandungi syabu seberat 5.25 gram daripada seorang daripada suspek.

“Kita juga turut menemui playar, pemutar skru dan pisau pemotong kertas dalam beg sandang seorang lagi suspek,” katanya.

Che Zaimani berkata, semakan mendapati suspek yang berusia 29 tahun mempunyai 19 rekod lampau masing-masing tujuh kes jenayah dan 12 kes dadah.

“Suspek yang berusia 24 tahun pula memiliki enam rekod lampau iaitu lima kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1)/511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 11:40 AM