Allaudeen (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika serbuan di sebuah rumah. FOTO GHAZALI KORI
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@nstp.com.my


NIAT murni namun membawa padah. Itu yang berlaku terhadap seorang lelaki dipercayai ingin membiayai kos rawatan ayahnya yang terlantar akibat angin ahmar dengan menyimpan serta menjual dadah.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu, jam 11 pagi semalam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menemui pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM10,000 disorokkan di kediaman lelaki berusia 37 tahun.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Alaudeen Abdul Majid berkata, suspek dipercayai mengambil upah menyimpan bahan terlarang itu dengan bayaran RM80 sehari.

“Suspek yang bekerja di kilang keropok ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah.

“Ketika diserbu, terdapat dua lelaki di dalam rumah iaitu suspek bersama bapanya yang terlantar akibat diserang angin ahmar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di IPK negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis menemui enam biji pil berwarna merah disyaki pil kuda atau methamphetamine selain tiga botol plastik berisi dadah jenis heroin di ruang tamu.

“Polis turut menemui 13 botol plastik dalam almari dipercayai mengandungi dadah jenis heroin.

“Kita juga menemui 40 paket plastik berisi pil merah dipercayai pil kuda atau methamphetamine dan sembilan paket plastik berisi ketulan mampat dipercayai ganja,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

“Suspek dipercayai masih baru dalam kegiatan ini iaitu dua minggu dan berdasarkan rekod, dia pernah mempunyai kes dadah sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:02 PM