LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


LAPAN beradik yang sebelum ini hidup dalam keadaan terabai di sebuah pondok usang di Pulau Besar, di Melaka, kini memulakan hidup baharu apabila selamat ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM negeri Burhanuddin Bachik berkata, lapan beradik berusia enam bulan hingga 16 tahun itu ditempatkan sementara di tiga institusi berlainan di negeri ini, Pahang dan Johor.

“JKM tidak dapat menempatkan kesemua mereka di satu institusi kerana perlu mengikut kategori ditetapkan.

“Seperti di sini (institusi) had umur untuk penghuni 13 tahun dan ke atas serta untuk remaja lelaki sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sehingga kini, lelaki berusia 42 yang juga bapa kepada lapan beradik itu belum dapat dikesan.

Menurut beliau, kanak-kanak itu buat tempoh ini berada dalam jagaan sementara JKM dan tidak diserahkan kepada keluarga terdekat kerana bimbang bapa mereka akan datang dan mengambil semula lapan beradik itu.

“Sebelum ini pada Febuari lalu selepas ibunya ditahan lapan beradik itu diletakkan di bawah jagaan keluarga terdekat tetapi bapanya mengambil dan membawa mereka kembali ke Pulau Besar.

“Kita tidak mahu kejadian sama berulang. Bagaimanapun, JKM akan mendapatkan perintah jagaan tetap dan diberikan kepada saudara terdekat sebelah ibu,” katanya.

Beliau berkata, urusan dokumen pengenalan diri tiga beradik berumur enam bulan, dua dan tiga tahun sudah selesai.

Harian Metro hari ini melaporkan, keperitan lapan beradik yang hidup dalam keadaan daif dan tidak terurus di sebuah pondok usang di Pulau Besar di sini, berakhir apabila mereka diselamatkan JKM, kelmarin.

Adik beradik berusia enam bulan hingga 16 tahun itu dikatakan tinggal di bawah jagaan bapa mereka selepas ibu berusia 36 tahun dimasukkan ke pusat pemulihan dadah kerana penyalahgunaan dadah, Februari lalu.

Bagaimanapun, kehidupan kanak-kanak itu terabai kerana tugas menjaga hanya dilakukan anak sulung, malah bayi perempuan itu juga kehabisan susu.

Berita berkaitan

Derita lapan beradik berakhir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:51 PM