AB Rashid (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barang dirampas dalam kes pecah rumah pada sidang media di IPD Tumpat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


POLIS menahan enam suspek berkaitan kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan yang aktif melakukan jenayah itu sejak lebih setahun lalu.

Enam suspek termasuk seorang wanita itu berusia 24 hingga 38 tahun dipercayai melakukan lebih 10 kes jenayah di Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata penahanan semua suspek itu dibuat secara berasingan bermula penghujung Mei lalu lalu sehingga semalam di sekitar Tumpat dan Kota Bharu.

“Kes terbaharu berlaku di Wakaf Bharu pada 24 Mei lalu apabila empat suspek menyamun seorang wanita. Dalam kejadian itu, mangsa diheret sejauh lima meter sehingga cedera di badan serta kaki.

“Sebelum kejadian itu, seorang daripada suspek menggunakan kad debit palsu mengisi petrol berjumlah RM178 di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek berusia 37 tahun selepas dipercayai terbabit dalam jenayah sama.

Menurutnya, semua suspek mempunyai rekod lampau berhubung kes jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati semua positif dadah jenis methampetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Dalam perkembangan lain, polis sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan membabitkan kes pecah kenderaan di Chabang Empat dan Wakaf Bharu pada awal Jun lalu.

“Dua lelaki yang berusia 35 dan 43 tahun itu adalah warga tempatan dan kami yakin mereka masih berada dalam negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 4:30 PM