Wakil peserta menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


SELEPAS gagal mencapai titik perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan, Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) hari ini mendesak campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membela nasib pemandu teksi di negara ini.

Pagi hari ini, lebih 2,000 pemandu teksi mewakili pelbagai persatuan teksi dari seluruh negara berkumpul di perkarangan Bangunan Perdana Putra di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum yang mengandungi 18 tuntutan kepada Perdana Menteri.

Memorandum berkenaan diserahkan Yang Dipertuan GTSM, Kamarudin Mohd Hussain kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya.

Kamarudin berkata, dia merayu kepada Perdana Menteri supaya campur tangan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang membelenggu industri teksi di negara ini disebabkan kehadiran syarikat ‘e-hailing’.

Menurutnya, lebih 2,000 pemandu teksi seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak berkumpul hari ini bagi menuntut hak kesamarataan yang adil.

“Industri teksi hari ini banyak terjejas dengan kehadiran syarikat ‘e-hailing’ menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian yang jelas melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Kami juga kesal dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke apabila beliau menutup segala pintu rundingan dengan pihak kami.

“Selain itu, mereka (Kementerian Pengangkutan) turut memakai segala keputusan yang dibuat pada pemerintahan kerajaan terdahulu tanpa mengadakan sebarang kajian,” katanya ketika ditemui, hari ini.


SEBAHAGIAN peserta Perhimpunan Reformasi Teksi 2.0 Gabungan Teksi Malaysia di pekarangan Bangunan Perdana Putra. FOTO Luqman Hakim Zubir

Kamarudin berkata, pihaknya kesal kerana banyak kelonggaran diberikan kepada syarikat e-hailing sedangkan mereka juga menyediakan pengangkutan awam kepada orang awam dan pelancong.

Menurutnya, pihaknya menuntut supaya kerajaan menghapuskan undang-undang berat sebelah serta tidak adil terhadap beberapa peraturan dalam industri teksi dan membantah kelonggaran kepada pemandu kereta sapu e-hailing seperti latihan atas talian dan pemansuhan ujian praktikal.

Katanya, pihaknya juga membantah pengecualian kepada kenderaan e-hailing untuk menjalani pemeriksaan berkomputer di PUSPAKOM dan membantah rancangan Kementerian Pengangkutan untuk melonggokkan ratusan ribu permit e-hailing kepada syarikat aplikasi e-hailing.

“Perkhidmatan kami sama dengan e-hailing tapi kenapa kami perlu melalui semua peraturan dan syarat berkenaan. Kenapa perlu ada perbezaan dan undang-undang yang berat sebelah,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mahu kerajaan mengharamkan syarikat e-hailing tapi mahu layanan kesamarataan antara teksi dan syarikat berkenaan.

Selesai menyerahkan memorandum dan berkumpul di Bangunan Perdana Menteri, GSTM kemudian bergerak ke bangunan Kementerian Pengangkutan di Presint 2 di Putrajaya, bagi menyerahkan sendiri memorandum yang sama kepada Loke.

Bagaimanapun, Loke enggan bertemu dengan wakil GTSM sebaliknya menghantar Setiausaha Politiknya, Datuk Dahlan Maamor untuk berunding dan menerima memorandum berkenaan.

Difahamkan, memorandum berkenaan tidak diserahkan kerana mereka mahu menyerahkannya kepada Loke sendiri bukannya wakil.

Sementara itu, Dahlan ketika ditemui media berkata, pihaknya cuba untuk memenuhi kehendak GSTM, termasuk menyelesaikan permasalahan teksi di meja rundingan namun, mereka menolak pertemuan itu kerana mahu bertemu sendiri dengan Menteri Pengangkutan.

“Menteri tidak pernah mengabaikan keperluan dan kehendak pemandu teksi sebaliknya kini melihat keseluruhan untuk meningkatkan kesejahteraan industri pengangkutan awam di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 4:08 PM