BEKAS Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Muhammad Haziq Abdullah Abdul Aziz. FOTO Hafiz Sohaimi
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS masih menjalankan siasatan berhubung ketulenan rakaman video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri dan ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan berhubung kes itu sedang giat dijalankan.

“Siasatan kes itu sedang berjalan dan kami masih menunggu siasatan berkenaan ‘sempurna’ (dilengkapkan). Ini termasuk siasatan bagi mengenal pasti ketulenan video berkenaan.

“Siapa saja yang dirasakan perlu bagi membantu siasatan kes ini akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai kewujudan kumpulan Whatsapp terbaru yang dikaitkan dengan rakaman video seks terbaru membabitkan menteri dengan ahli PKR berkenaan, Mazlan memberitahu pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sebelum ini, beberapa siri video seks membabitkan dua lelaki tular di media sosial diikuti pengakuan oleh Haziq yang mengaku sebagai seorang daripada lelaki dalam video berkenaan.

Haziq yang juga Ketua Pemuda PKR Santubong mendakwa bahawa orang lain yang bersama dalam video berkenaan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, Haziq dilaporkan ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Jun lalu ketika mahu berlepas ke Manila, Filipina dan dibebaskan pada hari berikutnya dengan jaminan polis.

Menerusi peguamnya, N Surendran, Azmin dimaklumkan sudah memberikan keterangan kepada pihak polis, semalam berhubung dakwaan kaitan beliau dalam video lucah berkenaan selepas dihubungi pihak polis pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 12:46 PM