SEBAHAGIAN penunggang motosikal termasuk di remaja di bawah umur 12 tahun ditahan polis kerana dipercayai terbabit melakukan aksi merbahaya dalam Ops Motosikal di Kompleks Sukan Jerlun, Kampung Sanglang. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SUDAHLAH tiada lesen memandu, kaki hendak memijak brek kaki pada motosikal pun tak sampai.

Begitulah antara gelagat yang dapat dilihat pada segelintir remaja dan kanak-kanak ketika polis menggempur Kompleks Sukan Jerlun Kampung Sanglang, di Kubang Pasu semalam kerana sering dijadikan ‘port’ litar lumba hampir setiap petang.

Operasi dilakukan berdasarkan aduan yang dilakukan Unit Risikan Khas Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang diketuai Inspektor Wan Mazuan Wan Mahmud serta anggota Balai Polis Air Hitam.

Lebih mengejutkan, kebanyakan penunggang motosikal terbabit masih di bawah umur iaitu sekitar 12 hingga 25 tahun, malah ada yang kakinya tidak sampai ketika memberhentikan motosikal sewaktu pemeriksaan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, hasil pemantauan yang dilakukan anggota unit terbabit, didapati beberapa penunggang motosikal di bawah umur berada di kawasan itu.

Beliau berkata, mereka dikatakan turut serta melakukan aksi serta lagak ngeri menunggang motosikal secara merbahaya tanpa mempedulikan keselamatan diri sendiri dan orang lain.

“Hasil operasi khas yang dijalankan bermula 5 petang hingga 8 malam tadi, sebanyak sembilan motosikal disita dan sebanyak 92 saman terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Antaranya termasuklah menunggang tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh dan mengubahsuai motosikal serta menunggang di bawah umur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, kesemua motosikal yang disita kemudian dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut manakala remaja yang ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan keluarga.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa serta waris supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama yang masih di bawah umur supaya mereka tidak menunggang motosikal di jalan raya.

Mohd Ismail berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pemilik motosikal yang membenarkan penunggang di bawah umur menunggang motosikal mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 12:40 PM