NORHAILMI (tiga kiri belakang) ketika mengikuti program di US Space and Rocket Center, Amerika Syarikat tahun lalu. FOTO ihsan Norhailmi
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


GURU Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Alor Setar, bakal menjadi guru pertama di Malaysia mengikuti latihan High School Teacher Programme 2019 di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Geneva, Switzerland, pada 7 hingga 20 Julai ini.

Norhailmi Abdul Mutalib, 38, berkata penyertaannya adalah daripada minat sendiri selepas mengetahui peluang itu daripada seorang rakan guru dari Romania akhir tahun lalu.

“Jadi, saya mengisi borang dan melengkapkan permintaan penganjur iaitu mengarang esei mengenai latar belakang pendidikan dan pengalaman bekerja, selain itu saya juga perlu menyediakan esei kenapa saya berminat untuk sertai latihan itu dan bagaimana saya boleh sebar luaskan pengetahuan dengan rakan guru di negara masing-masing.

“Saya juga perlu menulis esei mengenai satu contoh amalan terbaik dalam bilik darjah dalam memperkenalkan fizik partikel kepada pelajar di sekolah, pada masa sama penganjur turut meminta peserta membuat tugasan video, memperkenalkan diri dan hasil kerja sendiri untuk layak mengikuti latihan itu.

“Alhamdulillah, pada April lalu saya berjaya mendapat tempat mengikuti latihan itu dan disenaraikan antara 49 peserta dari 39 negara,” katanya.

Menceritakan pengalamannya sebagai guru, Norhailmi atau lebih dikenali sebagai cikgu Hailmi yang berasal dari Simpang Empat, Perlis, berkata dia sentiasa mahukan suasana pengajaran yang ceria dan mampu menarik minat pelajar seiring Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21).

Katanya, pada 2013 dia menggunakan strategi ‘flipped classroom’ iaitu pengajaran menerusi video sehari sebelum kelas.

“Saya lihat ramai pelajar yang suka tidur dan kurang berminat untuk belajar, jadi saya perlu cipta bentuk pengajaran dan pembelajaran yang mampu menarik minat pelajar.

“Sukatan pelajaran yang berlangsung pada hari ini sudah dilakukan sehari sebelum dan mereka boleh melihat eksperimen yang saya lakukan menerusi video sama ada ketika berada di rumah atau di mana-mana saja, dari situ mereka dilatih dengan kemahiran berfikir dan menggunakan kreativiti sendiri untuk menyelesaikan masalah daripada dapatan eksperimen,” katanya.

Anak kepada pesawah itu berkata, sebagai guru sains dia aktif membuat perkongsian amalan terbaik bilik darjah menerusi blognya, www.cikguhailmi.com selain melakukan lebih 200 siri ceramah dan bengkel di seluruh negara bagi meningkatkan kualiti pengajaran guru.

Katanya, disebabkan minat mendalam dalam bidang sains, dia beberapa kali mencipta inovasi termasuk yang dinamakan meGENEX iaitu papan (board) untuk membantu mengajar bagi topik pewarisan genetik pada Mac lalu.

“Tujuan saya adalah untuk melahirkan lebih ramai generasi sains seiring kehendak kerajaan, atas usaha yang saya lakukan, kementerian memilih saya menjadi Ikon Guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Malaysia 2017 dan turut dinobatkan sebagai Malaysia Best Science Teacher oleh South Asean Minister Education Organization (SEAMEO) bagi Anugerah Ki Hajar Dewantara 2018 di Bali, Indonesia.

“Malah, saya juga pernah menyertai program guru angkasa antarabangsa bersama NASA di US Space and Rocket Center, Amerika Syarikat pada September 2018.

“Tahun ini, saya baru saja dipilih Naib Johan Adiwira PAK-21, Pertandingan Kempen Guru PAK-21 anjuran Kementerian Pendidikan menerusi Unit Pelaksanaan Prestasi Pendidikan (PADU),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 11:54 AM