KERETA yang hilang kawalan melanggar restoran dekat Jalan Temenggung 19/9, Mahkota Cheras, Kajang, menyebabkan tiga cedera. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


TIGA pelanggan restoran di Jalan Temenggung 19/9, Mahkota Cheras, Kajang, yang sedang menjamu selera, cedera selepas dirempuh kereta, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, pemandu Perodua Myvi berkenaan dikatakan menyangka enjin kenderaannya belum dihidupkan lalu menukar gear D dan menekan minyak.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketiga-tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang, manakala pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kajang menerima maklumat memaklumkan berlaku kemalangan sebuah kenderaan merempuh restoran.

“Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan restoran yang membabitkan Perodua Myvi dipandu lelaki berumur 73 tahun, yang hilang kawalan ketika ingin memulakan pemanduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandunya menyangka kenderaan masih belum dihidupkan dan kemudian menukar gear dalam keadaan ‘D’ sebelum menekan minyak sehingga menyebabkan kenderaan itu bergerak terus ke hadapan dan hilang kawalan lalu melanggar restoran yang berada di hadapannya.

“Ketika kejadian terdapat tiga pelanggan berada di restoran terbabit dan dirempuh oleh kenderaan itu.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kajang serta menerima rawatan dan hanya cedera. Seorang daripada mangsa berusia 16 tahun, manakala dua lagi belum dikenalpasti kerana sehingga kini tidak membuat laporan polis.

“Kes kemalangan dibuka dan siasatan lanjut kemalangan dijalankan dibawah Rule 10 LN 166/59,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 11:22 AM