AHMAD Fauzi Hasan.
Amir Abd Hamid
amir_hamid@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga (ST) masih di peringkat akhir siasatan menyenaraikan kesalahan syarikat pembekal tenaga elektrik utama negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Siasatan itu berkaitan kesalahan dan ketidakpatuhan menyediakan perkhidmatan utiliti kepada pengguna.

Pengerusi ST Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan berkata, jumlah penalti berkaitan perkara itu dikemas kini.

“Masih dalam proses (siasatan kesalahan dan penalti terhadap TNB). Saya tak mahu komen banyak, keterangan saya adalah sama seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya antara kesalahan dilakukan syarikat utiliti berkenaan.

Minggu lalu Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, TNB melakukan kesalahan dan kenaikan bil sebelum ini disebabkan masalah teknikal syarikat itu.

“Mereka selesaikan 50 peratus aduan sebelum hari raya namun saya masih menunggu kemas kini keseluruhan aduan yang selesai.

“Memang mereka (TNB) ada lakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 dan akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Sekarang ST masih mengumpul jumlah kesalahan yang dilakukan TNB dan jumlah kesalahan dan penalti akan diumumkan tidak lama lagi,” kata Yeo dalam laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:30 AM