HABIBI Majinji ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.
Norasikin Daineh

KOTA KINABALU: Cemburu punca seorang lelaki bertindak menikam belakang isterinya sebanyak dua kali sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah kongsi kilang di Likas, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu akhirnya berjaya diberkas polis.

“Hasil siasatan mendapati punca wanita berusia 61 tahun ditikam suaminya sebanyak dua kali di bahagian belakang adalah dipercayai akibat cemburu.

“Suspek bertindak luar kawalan sehingga menikam isterinya selepas dia percaya bahawa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, semalam.

Menurut Habibi lagi, suspek juga didapati cedera di bahagian leher kerana menikam dirinya sendiri namun polis berjaya meredakan keadaan ketika itu.

“Suspek cedera dipercayai menikam lehernya menggunakan pisau yang digunakan untuk menikam isterinya.

“Dia dihantar ke hospital dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. Suspek kemudian direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, berlaku pertengkaran antara mangsa, Ayang Hamjani dengan suaminya di rumah kongsi berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang ditikam kemudian dilaporkan meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, selepas jiran melaporkan kejadian itu kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:00 AM