KELUARGA Orang Asli Batek mula menghuni kembali rumah mereka.
Muhamaad Razis Ismail dan Ahmad Rabiul Zulkifli dan Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Semua penduduk sekitar Kuala Koh, Gua Musang akan diberi suntikan vaksin bermula minggu depan, bagi mengelak penularan wabak measles atau demam campak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti bilangan penduduk yang terdedah berikutan kampung berkenaan turut didiami masyarakat tempatan selain Orang Asli.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan ketua kampung serta tok batin untuk melancarkan program itu.

“Pada masa sama, program suntikan imunisasi secara berjadual akan diteruskan terutama kepada kanak-kanak, cuma kita menghadapi kesukaran sebelum ini memandangkan suku Batek kerap berpindah-randah.

“Apapun kita tidak boleh salahkan mereka kerana mungkin ketika kita hadir melakukan suntikan imunisasi berjadual di kampung itu, mereka kebetulan keluar ke hutan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, pihaknya turut melihat aspek lain yang boleh mengganggu daya tahan Orang Asli termasuk pemakanan mereka.


BARANG keperluan hasil bantuan NGO diserahkan kepada komuniti Orang Asli Batek.

“Pejabat Kesihatan Gua Musang memasuki ke kampung itu setiap bulan yang bukan saja memberi rawatan dan menjalankan promosi kesihatan, malah aktiviti lain turut diadakan sebagai proses untuk mengubah tingkah laku mereka.

“Walaupun kita menjalankan program berbentuk kesedaran secara berterusan, ia tetap memerlukan masa lama dengan membabitkan semua pihak kerana mereka perlu meningkatkan pendidikan kesihatan dan isu sosioekonomi sebelum dapat yakinkan Orang Asli mengenai imunisasi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:30 AM