Perkampungan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh. FOTO Syamsi Suhaimi
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KEPUTUSAN sampel bedah siasat 12 mayat Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh, Gua Musang akan diperolehi dalam tempoh beberapa hari lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, ketika ini pasukan pakar forensik sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“(Sehingga kini) belum lagi apa-apa yang muktamad dikenal pasti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Mental di Petaling Jaya hari ini.

Kelmarin, lapan mayat terakhir Orang Asli Batek dari Kuala Koh dibawa keluar sekali gus menjadikan semua 12 mayat yang meninggal dunia sudah ditemui dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM).

Dr Dzulkefly berkata, sehingga semalam Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesan sebanyak 113 kes dengan gejala saluran pernafasan berlaku di Kampung Kuala Koh.

“Sebanyak 52 kes masih dirawat di hospital, iaitu 49 di wad biasa, dan tiga di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, wabak di Kuala Koh itu wajar diambil pengajaran berhubung keperluan terhadap vaksin.

“Saya tidak perlu berhujah. Ini satu pengajaran dan iktibar kepada kita. Semua daripada kita bertanggungjawab, semua kita mahu keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Beliau turut menekankan sumber air bersih dan elektrik disusuli dengan segera kepada komuniti terbabit.

“Saya tekankan bekalan air dan elektrik mesti kita bekalkan dan pastikan ia dapat diurus dengan baik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 1:48 AM