BERNAMA

KEMENTERIAN Pengangkutan mengenal pasti Batu Pahat sebagai daerah yang mencatat kadar kematian tertinggi akibat kemalangan di negara ini sejak 2016.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, bagi tahun berkenaan 207 kematian dicatatkan.

Bagaimanapun, kadar kematian akibat kemalangan menurun 20 peratus kepada 165 kematian sebaik ‘Program My Safe Road’ dilaksanakan pada 2017.

Namun katanya, tahun lalu jumlah kematian meningkat lapan peratus kepada 178 orang.

“Pada suku pertama tahun ini saja, 44 nyawa terkorban di daerah itu,” katanya ditemui selepas mesyuarat program berkenaan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat hari ini.

Anthony berkata, bagi kemalangan di seluruh negara, usia mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya adalah antara 15 hingga 25 tahun dengan kebanyakan daripada mereka penunggang motosikal.

Oleh yang demikian, pihaknya merangka pelbagai program dalam usaha mengurangkan kadar kematian antaranya memperkasakan Program My Safe Road yang difokuskan di beberapa lokasi ‘panas’ yang mencatatkan kematian tertinggi.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Datuk Suret Singh serta Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly.

Selain itu, pihak kementerian turut berhasrat mengadakan beberapa program advokasi di sekolah serta pusat pengajian tinggi kerana kadar kematian juga ada membabitkan penuntut universiti.

Berkenaan dengan laluan persekutuan FT50 iaitu Jalan Kluang yang mencatatkan kematian tertinggi di negara ini, kementerian menganggarkan kos RM300 juta untuk menaik taraf laluan itu supaya kadar kematian dapat dikurangkan

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya untuk tujuan projek naik taraf ini dengan membina pembahagi jalan dan pusingan U sepanjang 17 kilometer, yang mana ia lokasi hotspot kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Kami juga merancang memperbanyakkan ‘rumble strips’ (jalur bergetar) di lokasi tertentu supaya pengguna jalan raya dapat memperlahankan kenderaan masing-masing sekali gus menyedari lokasi yang mempunyai risiko berlakunya kemalangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 11:20 PM