Polis melakukan siasatan di pusat jagaan terbabit susulan video tular di Facebook. FOTO Hasriyashah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

EMPAT bekas pekerja pusat jagaan warga emas di Taman Seremban 3, Seremban mendakwa terpaksa tampil membuat laporan polis selepas aduan mereka kepada pengusaha dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai penderaan yang dikatakan berlaku di situ tidak diendahkan.

Salah seorang daripada mereka yang mahu dikenali sebagai Dila, 24, berkata, penderaan itu dilakukan penjaga ketika majikan tiada di premis.

Menurutnya, dia bekerja di pusat jagaan itu selama lapan bulan sebelum mengambil keputusan berhenti November lalu selepas tidak tahan melihat perbuatan penjaga terbabit.

“Apa yang tular di Facebook itu betul. Saya sendiri pernah lihat warga emas disepak dan diberi makan cili.

“Ada juga pekerja dipukul dan disepak kerana tidak mahu menurut arahannya.

“Saya pernah tegur perbuatannya tetapi dia tidak mengendahkan teguran saya sebaliknya mengugut menyuruh majikan memberhentikan saya.

“Saya juga pernah ceritakan perkara itu kepada waris yang datang menziarahi orang tua mereka tetapi ada yang percaya dan tidak kerana saya tiada bukti.

“Premis itu tiada CCTV (kamera litar tertutup),” katanya.

Dila mengulas mengenai video yang tular di Facebook mengenai penderaan yang berlaku di pusat jagaan warga emas itu pada sidang media di sebuah restoran di Seremban hari ini.

Mereka membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Balai Polis Jalan Campbell semalam.

Rakannya yang mahu dikenali sebagai Faizal, 26, pula menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan warga emas di pusat jagaan itu.

“Saya bimbang keselamatan semua penghuni di pusat jagaan itu selepas berhenti kerja awal bulan ini kerana sudah menganggap mereka seperti ibu bapa sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata, JKM memandang serius isu berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“JKM turut menjalankan siasatan secara dalaman dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa atas dakwaan salah laku kakitangan JKM (tidak ambil tindakan walaupun aduan dibuat) seperti yang didakwa melalui media sosial,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil jika pusat jagaan itu didapati tidak mematuhi peruntukan Akta Pusat Jagaan 1993.

Berita berkaitan

JKM lakukan siasatan menyeluruh

'Saya tidak pernah dera mereka' [METROTV]

Dipaksa minum air kencing, makan cili...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:49 PM