Qobin di hadapan premis perniagaannya yang akan dirobohkan DBKL namun ditangguhkan. FOTO Supian Ahmad
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


“SAYA akur dengan arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan untuk merobohkan struktur kedai makan ini.

“Bagaimanapun, saya bersyukur hasil perbincangan DBKL memberikan masa

untuk kami mengalihkan struktur (premis perniagaan) ini untuk membuat permohonan

semula bagi mendapatkan kelulusan dengan memenuhi syarat ditetapkan,” kata penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin.

Dia yang juga pemilik Q Noodles berdepan masalah apabila premis perniagaan yang menjual produk makanannya yang beroperasi di Galeria Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini hampir dirobohkan DBKL.

DBKL juga turut membatalkan lesen pengusaha kedai makan terbabit selepas didapati beroperasi tanpa kelulusan perintah pembangunan.

Lokasi terbabit turut menjadi perhatian apabila pegawai dan anggota DBKL serta anggota polis dikerahkan ke kawasan kedai makan itu untuk proses merobohkan struktur.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang hadir ke lokasi bagi membantu Qobin berunding dengan DBKL bagi mengelakkan premis itu dirobohkan.

Menurut Qobin, premis itu didirikan di tanah persendirian yang disewa sejak 10 bulan lalu dan mula beroperasi 15 Mei lalu.

Katanya, pihaknya juga sebelum ini sudah menghantar struktur pelan kepada DBKL tetapi tidak diluluskan.

“Kami ingatkan bila tanah persendirian boleh bina struktur sementara untuk kami ambil lesen dan berniaga, rupanya struktur kecil atau besar tetap kena minta kelulusan perintah pembangunan daripada DBKL.

“Kami akui sebagai manusia kita tak lepas dari kesilapan.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad dan DBKL kerana menangguhkan proses merobohkan struktur ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi kenyataan hari ini berkata, Jawatankuasa Pelesenan membuat pembatalan lesen kepada pengusaha terbabit kerana didapati tiada Kelulusan Perintah Pembangunan bagi struktur yang dibina.

Katanya, keputusan DBKL memutuskan tindakan roboh dan sita dilaksanakan selepas tamat tempoh 30 hari daripada tarikh surat penangguhan roboh dikemukakan kepada pengusaha.

“Surat kepada pengusaha sudah dikeluarkan bagi memaklumkan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan pada 18 Jun 2019 tanpa sebarang notis lagi.

“Bagaimanapun, operasi ini ditangguhkan atas arahan Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan sehingga dimaklumkan kelak.

“Pengusaha juga didapati sudah mengambil inisiatif sendiri untuk membuka struktur yang dibina tanpa kebenaran secara sukarela,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 7:25 PM