DATUK Mohd Khalil Kader Mohd (dua dari kanan) bersama pegawai kanan polis menunjukkan botol dan tin yang dipercayai di seludup masuk tanpa membayar duti kastam manakala gambar kecil tin minuman samsu haram yang dipercayai menyebabkan empat maut pada sidang media, hari ini. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


EMPAT maut, manakala seorang lagi hilang penglihatan selepas dipercayai meminum minuman keras yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun dalam kejadian di tiga daerah di Kulai, Seri Alam dan Johor Bahru Selatan (JBS), hari ini.

Empat kematian itu membabitkan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing, manakala seorang lagi lelaki yang dilaporkan hilang penglihatan juga membabitkan warga asing.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, bahan kimia beracun yang dipercayai terkandung dalam minuman keras diminum mangsa disyaki sejenis metanol.

“Tiga warga asing daripada India, Nepal dan Pakistan bersama kedua-dua warga tempatan itu semuanya berusia antara 30 hingga 36 tahun.

“Mereka dipercayai meminum minuman keras haram disyaki mengandungi bahan kimia beracun jenis metanol. Siasatan awal mendapati mereka minum satu jenama arak yang dibeli di pasaran tempatan.

“Bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian dan sampel minuman keras itu pula dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan kandungan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, susulan kematian itu, pihaknya melancarkan Ops Samsu Haram selepas mengenal pasti beberapa premis dipercayai menjual minuman keras berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak sembilan tangkapan dibuat terhadap empat lelaki tempatan dan lima lelaki warga Indonesia berusia antara 25 hingga 44 tahun di beberapa lokasi berasingan sekitar Johor Bahru Selatan (JBS), Seri Alam dan Kulai.

“Kita turut merampas beberapa botol dan tin minuman keras yang diseludup tanpa membayar duti kastam,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304b dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pada masa sama, Mohd Khalil menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan meminum minuman keras yang boleh dibeli dengan harga sangat murah kerana dibimbangi mengandungi bahan kimia beracun.

“Kita percaya banyak stok minuman keras ini yang berjaya disembunyikan sebelum kehadiran polis ketika operasi dijalankan.

“Jadi, kita amat mengharapkan maklumat orang ramai dalam meneruskan siasatan dan pemantauan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:51 PM