LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Olivia Miwil
am@hmetro.com.my


POLIS Sabah sudah melancarkan operasi berhubung kejadian penculikan yang membabitkan 10 kru bot nelayan di perairan Sabah, pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, polis juga sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian penculikan membabitkan 10 kru bot nelayan yang dipercayai didalangi kumpulan Abu Sayyaf di perairan berhampiran Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Katanya, polis masih menunggu laporan daripada Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am yang memulakan operasi susulan insiden penculikan itu.

“Kita masih menunggu laporan daripada Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am.

“Polis akan ambil kenyataan dan lakaran wajah (kumpulan bersenjata) daripada enam yang selamat,” katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Omar berkata, semua mangsa yang diculik adalah masyarakat Palau (Bajau Laut) atau dianggap orang tanpa negara, berumur antara 17 hingga 60 tahun.

Dalam kejadian itu, 16 kru bot nelayan yang menaiki dua bot dilaporkan berada dalam perairan Tambisan, Lahad Datu ke Semporna sebelum diculik kumpulan bersenjata kira-kira 2 pagi iaitu ketika tempoh perintah berkurung.

Enam lagi yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mendakwa mereka dalam perjalanan ke Semporna untuk memperbaharui permit.

Difahamkan, sebuah daripada bot nelayan itu dinaiki tujuh kru dengan empat daripadanya memegang dokumen Lepa-Lepa, diculik.

Sebuah lagi bot dinaiki sembilan kru dengan enam daripadanya juga pemegang dokumen Lepa-Lepa yang diculik.

Berita berkaitan

Nelayan diculik bukan rakyat Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:23 PM