MAZLAN (tiga dari kanan) bersama Noor Azam (tiga dari kiri) dan Dell Akbar Khan (tengah) ketika majlis penyerahan kenderaan kepada PDRM oleh MRCB George Kent Sdn Bhd di IPK Selangor di Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


“TIADA tempoh masa ditetapkan dan kita akan memanggil sesiapa saja termasuk ahli PKR (Parti Keadilan Rakyat) lain bagi membantu siasatan kes itu.”

Demikian tegas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengenai kes penularan video seks yang didakwa membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan pihaknya tidak akan mendedahkan sebarang maklumat terperinci mengenai kes itu.

“Kita meminta semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Polis memang tidak mempunyai tempoh masa siasatan, namun kita akan berusaha melaksanakannya secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dan Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan.

Mazlan berkata, polis akan memanggil mana-mana individu sekiranya mempunyai keperluan bagi siasatan kes berkenaan.

“Semuanya bergantung kepada siasatan dan kita akan panggil jika ada keperluan,” katanya yang mengesahkan pihaknya sudah merekod keterangan Mohamed Azmin, semalam.

Ketika ditanya kenyataan Mohamed Azmin mengenai perbuatan itu dilakukan ‘orang dalam’, beliau enggan mengulas lanjut kerana turut masih dalam siasatan.

“Itu kamu (media) boleh tanya dia,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, MRCB George Kent Sdn Bhd menyumbangkan empat van Isuzu D-Max dan 20 motosikal model Honda CBR250 untuk kegunaan polis mengiringi dan mengawal lalu lintas ketika kenderaan atau treler khas menghantar komponen binaan U-trough Girder ke tapak Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:40 PM