RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek melarikan beg tangan warga Filipina di Taman Perwaja, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


POLIS memburu dua lelaki yang melarikan beg tangan milik warga Filipina dalam kejadian di Taman Perwaja, Chukai, 3 petang semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku di depan kedai runcit ketika mangsa berusia 38 tahun memberhentikan kereta Perodua Myvi miliknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, mangsa pergi ke kawasan itu kerana ada urusan dan meninggalkan beg tangannya di dalam kereta tanpa mengunci kenderaan itu.

“Dua lelaki berusia 20-an yang menaiki kereta jenis sama memberhentikan kereta bersebelahan kereta suspek.

“Seorang daripada suspek keluar daripada kereta dan memerhatikan keadaan sekeliling sebelum membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg tangan wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haki berkata, kedua-dua suspek kemudiannya memecut kenderaan mereka untuk melarikan diri.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari kejadian itu cuba mengejar kereta dinaiki suspek, namun tidak berjaya.

“Mangsa mendakwa beg tangan yang dilarikan itu mengandungi pasport, kad ATM, MyKid dan sebuah telefon bimbit miliknya.

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan polis sudah mendapatkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan di talian 09-8592222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:17 PM