Kamera tersembunyi yang pernah tular di Internet. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong kini sedang mengkaji undang-undang baru yang berkaitan dengan pencerobohan privasi susulan penyebaran terbaru video lucah membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, undang-undang itu kelak bagi memastikan privasi setiap individu dilindungi dan tidak boleh diceroboh.

“Oleh itu, kami sedang melihat dan berbincang untuk mewujudkan undang-undang bagi menghalang pencerobohan ke dalam privasi orang lain,” katanya ketika ditemui pada program bersama Kluster Pengurusan Kehakiman dan Perundangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Katanya, undang-undang berkenaan akan melihat pelbagai sudut termasuk meletakkan peralatan video dalam bilik orang lain, melanggar dan menceroboh privasi individu lain.

Vui Keong berkata, beliau melihat banyak kes berkenaan akhir-akhir ini khususnya membabitkan pasangan kekasih di mana teman lelaki merakam gambar teman wanitanya sebelum mendedahkannya dalam media sosial bagi tujuan mengancam ketenteraman.

“Sebuah jawatankuasa sudah dibentuk untuk meneliti undang-undang berkaitan pencerobohan privasi serta membincangkan isu-isu berkaitan dengan lebih lanjut,” katanya

Katanya, undang-undang itu kelak akan dapat melindungi masyarakat terutama golongan muda, masyarakat, wanita dan kanak-kanak yang terpedaya dengan pelbagai ancaman dan ugutan.

Sebelum ini, satu siri video seks membabitkan dua lelaki viral di media sosial diikuti pengakuan oleh Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai salah seorang lelaki dalam video berkenaan.

Haziq yang juga Ketua Pemuda PKR Santubong, mendakwa bahawa orang lain yang bersama dalam video berkenaan adalah Mohamed Azmin.

Haziq dilaporkan ditahan oleh polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Jun lalu ketika dia hendak berlepas ke Manila dan dibebaskan pada hari berikutnya dengan jaminan polis.

Berita berkaitan

Haziq dah hantar surat tunjuk sebab

Azmin dah beri keterangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 4:03 PM