Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


“KENAPA sampai begitu sekali tuduhan terhadap saya?

“Saya tidak takut (tuduhan) kerana Allah SWT itu ada dan tahu apa saya buat,” kata pengusaha Pusat Jagaan Warga Emas dan Terapi Fitrah, Azrin Shala, menafikan tuduhan dia mendera warga emas dijaganya seperti yang tular di laman sosial Facebook (FB), sejak semalam.

Azrin, 49, berkata dia terkilan dan kecewa apabila ada pihak dipercayai sengaja menabur fitnah konon warga emas yang berada di pusat jagaannya didera sehingga ada antara mereka mati akibat perbuatan kejam itu.

Katanya, seramai 12 warga emas berusia 65 tahun ke atas ditempatkan di pusat jagaan itu di Taman Seremban 3, Seremban, sejak beroperasi enam tahun lalu.

“Video dan gambar yang tular itu memang di pusat jagaan saya tetapi tuduhan itu tidak betul. Saya tidak pernah mendera mereka (warga emas), malah pekerja saya juga buat kerja mengikut prosedur ditetapkan.

“Mengenai video itu, pekerja saya hanya bergurau dengan mereka dan gambar yang tular itu pun dari dalam bilik persalinan disediakan khas untuk memakaikan pampers kepada warga emas di sini,” katanya ketika ditemui di pusat jagaan itu, hari ini.

Terdahulu, pegawai dan anggota polis serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat memasuki premis berkenaan kira-kira 11 pagi hari ini dipercayai bagi melakukan siasatan berikutan kes itu yang tular di FB.


LAPORAN Harian Metro sebelum ini. Azrin (gambar kecil). FOTO Hasriyasyah Sabudin

Azrin berkata, kebanyakan warga emas di pusat jagaannya mempunyai masalah kesihatan dan dihantar waris untuk penjagaan rapi dengan bayaran antara RM1,300 hingga RM1,600 sebulan bergantung kepada tahap kesihatan.

Katanya, premis itu mempunyai lesen dan berdaftar dengan JKM serta dibantu tiga pekerja yang menguruskan warga emas setiap hari.

Ditanya mengenai penularan gambar dan video itu, Azrin tidak menolak kemungkinan ia dilakukan ‘orang dalam’ yang dipercayai tidak berpuas hati dengannya.

“Saya tidak mahu tuduh sesiapa tetapi saya berharap orang itu muhasabah diri. Kalau dia berdendam dengan saya datang jumpa saya bukannya buat macam ini (tular).

“Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa dan mahu selesaikan cara baik. Buat apa nak besar-besarkan kes ini kerana kasihan dengan orang di sini (warga emas),” katanya.

Berikutan penularan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, malam tadi.

Berita berkaitan

Dipaksa minum air kencing, makan cili...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 3:22 PM