Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


PENIAGA pasar malam berdepan hukuman penjara dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap lima tuduhan merogol adik tirinya berusia 14 tahun.

Tertuduh berusia 35 tahun membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 3 Julai depan untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga kelima, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun di tiga rumah di sekitar Pasir Puteh pada Oktober 2018 hingga Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 2:37 PM
PENIAGA pasar malam berusia 35 tahun berdepan hukuman penjara dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap lima tuduhan merogol adik tirinya berusia 14 tahun di tiga rumah di sekitar Pasir Puteh pada Oktober 2018 hingga Mei 2019 lalu. FOTO Zaman Huri Isa