SHAH ALAM 18 JUN 2019. Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ditemui pihak media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Konsortium PCSB-MGB dan Must Ehsan Development Sdn Bhd untuk membangunkan Rumah Idaman Rakyat Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin penularan video seks yang didakwa membabitkan dirinya didalangi oleh ‘orang dalam’.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau turut yakin ia agenda politik individu tertentu yang bertujuan menyekat kemaraan prestasinya dalam kerajaan dan politik.

“Saya yakin umum sudah melihat siapakah dalang dan biarlah polis menjalankan siasatan.

“Biarlah rakyat membuat hukuman mengenai perkara ini dan kini terbukti semakin kuat persepsi membayangkan pihak terbabit dalam konspirasi dan tohmahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Pembangunan antara Konsortium Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)-MGB dan Must Ehsan Develpoment Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak SUK di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Kata Mohamed Azmin, beliau sudah menyatakan akan sentiasa memberi kerjasama penuh dengan polis bagi menjalankan siasatan mengenai dakwaan jahat dan kejam itu.

“Ahad lalu, saya dimaklumkan oleh pegawai bahawa dia dihubungi polis untuk dirakamkan keterangan. Namun, saya ketika itu berada di Pulau Pinang untuk menghadiri beberapa program.

“Saya utamakan untuk memberi keterangan dan sudah berbuat demikian semalam,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa video itu tidak diubah secara digital, beliau berkata, sebarang kenyataan dikeluarkan mana-mana pihak dianggap tidak adil kerana siasatan sedang berjalan.

“Jika ada pihak tidak bertanggungjawab membuat kenyataan seumpama itu, ia dilihat boleh mengganggu siasatan.

“Beberapa tindakan sudah diambil bagi membersihkan nama saya termasuk laporan polis, laporan qazaf dan tindakan lain menerusi nasihat peguam,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas cadangan supaya beliau melafazkan sumpah laknat, Mohamed Azmin berkata, ia mempunyai proses tertentu termasuk laporan qazaf dan perlu berjalan lancar.

“Saya ambil tindakan berdasarkan nasihat peguam dan pihak yang memberi pandangan mereka.

“Kita harus membenarkan siasatan ini berjalan dan tidak terganggu dengan kenyataan dan tekanan kepada pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 1:45 PM