Suzianah Jiffar dan Poliana Ronnie Sidom
am@hmetro.com.my


SEPULUH kru bot nelayan dipercayai diculik berhampiran perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina, awal pagi hari ini.

Dua bot dinaiki kru terbabit dipercayai berada di perairan Tambisan dalam perjalanan ke Semporna, sebelum didatangi kumpulan bersenjata yang menggunakan bot laju, kira-kira 2 pagi.

Setakat ini, identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya masih mengenal pasti maklumat berkenaan dan setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak.

Katanya, kejadian itu juga belum dapat disahkan sama ada ia berlaku dalam perairan negara ini atau di Filipina.

“Kita belum dapat sahkan (kejadian penculikan) dan tidak pasti ia berlaku di perairan sempadan mana,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi berkata, kejadian belum dapat disahkan.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan ada kejadian penculikan berlaku dan pasukan keselamatan dipercayai sudah ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 1:25 PM