LOKASI kejadian yang mana suami isteri warga Filipina maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 50, Jalan Tawau - Kunak, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


SUAMI isteri warga Filipina maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 50, Jalan Tawau-Kunak, dekat Tawau, semalam.

Dalam kejadian 1.35 tengah hari itu, mangsa Salih Amie, 53, yang memandu Perodua Viva bersama isteri, Sarru Appay, 54, yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ketika kejadian mangsa bersama isteri dalam perjalanan ke pekan Kunak untuk memperbaharui pas lawatan.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu berpusing memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Myvi dipandu guru wanita berumur 35 tahun.

Pada masa sama katanya, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dari arah hadapan gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang parah, maut di tempat kejadian manakala ketiga-tiga kenderaan masing-masing mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.

“Pemandu Perodua Myvi bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kereta Toyota Hilux iaitu seorang lelaki berumur 27 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Kunak untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 9:24 AM