DR Dzulkefly (tiga dari kanan) beramah mesra pada majlis perjumpaan bersama Rombongan Petugas Perubatan Haji Malaysia ke Tanah Suci bagi Musim Haji Tahun 1440H/2019M.
Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bh.com.my


PUTRAJAYA: Seramai 255 pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan termasuk doktor pakar akan ditugaskan di Tanah Suci sempena musim haji tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perancangan dan pemilihan sebagai Rombongan Petugas Perubatan Haji itu dibuat sejak Januari lalu sebagai persiapan awal untuk menyusun aktiviti bagi memastikan aspek kesihatan jemaah Malaysia tersusun dan baik.

Katanya, pemilihan petugas dibuat berdasarkan kelayakan, kepakaran serta pengalaman dimiliki mereka.

“Saya yakin mereka yang dipilih sangat layak berdasarkan latar belakang pengalaman dan kepakaran sama ada dalam bidang perubatan atau kesihatan awam,” katanya pada Majlis Perjumpaan Menteri Kesihatan Bersama Rombongan Perubatan Haji 2019/1440H di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (Pengurusan), Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Dzulkefly berkata, semua petugas yang terpilih menghadiri kursus petugas perubatan haji dikendalikan TH bagi memastikan mereka terlatih dan mempunyai koordinasi yang baik sepanjang menguruskan jemaah Malaysia di Makkah serta Madinah.

“Penyertaan rombongan petugas perubatan ini menggambarkan faktor kesihatan adalah perkara utama diberi perhatian oleh kerajaan bagi memastikan jemaah sentiasa pada tahap kesihatan yang baik bagi memudahkan urusan mereka menunaikan ibadat,” katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan kesihatan jemaah, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin meningococcal yang diwajibkan kepada semua bakal haji bertujuan mengekang penularan penyakit meningococcal meningitis.

“Selain itu, bakal jemaah terutama berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang berisiko dijangkiti respiratorin sangat digalakkan mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal dan influenza,” katanya.

Beliau juga meminta TH memberi pertimbangan agar petugas KKM di Tanah Suci diberi kelayakan mendapat subsidi kos haji dan tidak perlu membayar kos penuh iaitu RM22,900 kerana mereka sebelum ini pergi ke Tanah Suci atas tugas memberi khidmat kepada jemaah.

“Saya juga meminta jemaah haji mengambil peluang menunaikan haji untuk berhenti merokok,” katanya.

Sementara itu, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia berkata, secara keseluruhannya 640 petugas haji Malaysia bertugas sepanjang musim haji tahun ini.

“Kuota rasmi jemaah haji Malaysia tahun ini ialah 30,200 dengan penerbangan pertama pada 4 Julai depan manakala kebanyakan petugas berangkat lebih awal secara berperingkat mulai 27 Jun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:30 AM