KHALID memberi keterangan kepada RCI, semalam.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: “Saya arahkan hold on (tunggu)’ kepada bekas Ketua Polis Perlis (Datuk Zul Aznam Haron) kerana beliau tak pasti penemuan (kubur dan kem) itu di sebelah Malaysia atau Thailand,” kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Saksi ke-47 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis itu berkata, Zul Aznam juga tidak dapat memberikan maklumat mengenai perkara itu apabila ditanya lanjut.

Berikutan, menurutnya, beliau mengarahkan bekas Ketua Polis Perlis itu untuk terus menyiasat dan mengumpulkan maklumat.

“Saya tak dapat apa-apa maklumat lanjut hingga Ops Wawasan Khas dilancarkan, barulah saya dimaklumkan jumlah khemah dan struktur kubur ditemui,” katanya.

Pada 24 April lalu ketika memberikan keterangan di hadapan panel RCI, Zul Aznam berkata, beliau memaklumkan kepada Khalid mengenai penemuan kem penempatan sementara itu.

Zul Aznam turut dipetik berkata, beliau melaporkan penangkapan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penemuan struktur tanah menyerupai kubur di Bukit Wang Burma oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas tinjauan dan serbuan ke lokasi berkenaan pada 19 Januari 2015.

Menurut Zul Aznam, itu perbualan terakhirnya dengan Khalid dan beranggapan apabila dimaklumkan, kes itu akan diberi perhatian oleh Bukit Aman.

Dalam pada itu, Khalid tetap mempertahankan arahannya itu betul hingga berlarutan tiga ke empat bulan kerana polis memerlukan maklumat lanjut sebelum operasi serbuan dibuat.

Beliau berkata, kawasan itu sempadan Malaysia dan Thailand yang sensitif kerana membabitkan dua kerajaan.

“Kerana itu, saya arahkan siasat dulu dan kumpul maklumat hinggalah Ops Wawasan Khas,” katanya.

Panel RCI itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria manakala bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai sebagai timbalan pengerusi.

Ahli lain ialah bekas Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Anggota lain panel ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw manakala Pegawai Pengendali yang juga Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad dan Khairul Anuar Abd Halim.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

RAZALI: Bagaimana polis buat serbuan tempat itu kalau tidak ditentukan dalam Malaysia atau tidak? Saya tak faham. Sekarang baru kami dimaklumkan oleh bekas Ketua Polis Negara bahawa lokasi itu tidak dapat dipastikan?

KHALID: Itu sebab saya beri arahan hold on untuk tindakan kerana dia (Zul Aznam) tidak dapat beri kedudukan di mana. Isu sempadan ini perkara sensitif. Boleh sebabkan dua negara bertelingkah.

RAZALI: Kalau semua pegawai polis yang bertindak itu percaya dalam Malaysia, macam mana anda boleh fikir berbeza?

KHALID: Apabila saya ditaklimatkan kawasan lokasi belum dapat dipastikan oleh Ketua Polis Perlis, sudah semestinya saya beri arahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:30 AM