Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


PENDUDUK Kuala Langat boleh menjadi mata dan telinga pihak berkuasa malah menerima ganjaran RM100 apabila menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pembuangan sampah secara haram.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, pemberian insentif itu terbuka kepada warga Malaysia dan ia akan diberikan sebaik saja pelaku kesalahan membayar kompaun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, ganjaran itu hanya akan diberikan apabila kesalahan itu dilakukan membabitkan kenderaan berat seperti lori bermuatan satu tan ke atas.

“Pemberi maklumat perlu mengisi borang yang disediakan di Unit Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDKL serta bersetuju menjadi saksi di mahkamah jika kes berkenaan dibawa ke peringkat perbicaraan.

“Sebagai pembuktian, pemberi maklumat perlu mengambil gambar, lokasi, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh kejadian, masa kejadian yang jelas bila aktiviti pembuangan sampah itu dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, maklumat yang disampaikan kepada pihaknya mestilah tepat dan sahih sebelum ganjaran diberikan.

Mengulas lanjut, Mohamad Zain berkata, pihaknya juga meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan setiap hari hasil kerjasama orang awam dan penduduk setempat.

“MDKL sentiasa meneruskan usaha bagi menangkap serta mendakwa mereka yang didapati membuang sampah haram.

“Hanya dengan tindakan maksimum tanpa kompromi ini diharap dapat membebaskan daerah ini daripada masalah pembuangan sampah haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 10:59 PM