Keadaan tembok rumah kedai See di Jalan Abdullah yang rosak dirempuh kereta. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


“SAYA bernasib baik kerana masih ‘terselamat’ meskipun sudah 12 kenderaan terbabas di sini, dalam insiden terdahulu,” kata See Chin Lee, 60’an, mengulas mengenai insiden rempuhan kereta di depan rumah kedainya di Jalan Abdullah, Segamat hari ini.

Kejadian 8.30 pagi itu tular apabila Perodua Myvi dipandu wanita merempuh bangunan batu berkenaan hingga mencederakan mangsanya.

Katanya, sejak lebih 60 tahun lalu bangunan itu sudah menyaksikan pelbagai jenis kenderaan terbabas serta terbalik.

“Semua kenderaan terbabit merempuh halaman rumah kedai ini, namun tidak pernah menyebabkan musibah kepada keluarga kami mahupun pemandu serta penumpangnya.

“Keadaan jalan raya yang bercerun serta selekoh tajam menyebabkan pemandu hilang kawalan terutamanya selepas hujan,” katanya ditemui di rumah kedainya hari ini.

Menurutnya, dia sering menasihati ahli keluarganya supaya lebih berhati-hati kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku.

“Sejak beberapa kejadian seperti itu berlaku, saya sering menasihati ahli keluarga supaya tidak berada di laluan pejalan kaki di premis ini.

“Pada masa sama, kami turut menasihati pejalan kaki dan pemilik kenderaan supaya tidak memakir kenderaan di situ,” katanya.

Mengulas mengenai insiden itu katanya, ketika kejadian dia terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah kedainya.

“Ketika kejadian, saya berada di dalam sebelum bergegas ke luar untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya lihat kereta putih dipandu wanita dan tidak berapa lama kemudian sebuah ambulans membawa wanita itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Katanya, dia juga pernah membantu mangsa, selain menghubungi pihak polis dan hospital bagi memastikan keselamatan mangsa.

Menurutnya, anggaran kerugian RM500 bagi membaiki semula tembok batu yang runtuh dilanggar kereta itu.

See berkata, dia lebih bimbangkan keselamatan pejalan kaki yang berdepan risiko dirempuh kenderaan yang hilang kawalan.

“Beberapa bulan lalu pernah berlaku sebuah treler bermuatan tiang konkrit terbalik.

“Justeru saya berharap pihak berwajib membina lebih banyak papan tanda berskala besar dan meletakkan lampu amaran berkelip di sekitar lokasi sebagai ingatan pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui jalan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, wanita berusia 20 tahun yang memandu Perodua Myvi itu cedera dan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Segamat selepas dibantu Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Abdullah.

“Bahagian tepi kanan badan kereta itu rosak teruk termasuk tayar hadapan kanannya yang tercabut akibat melanggar tembok hadapan rumah kedai itu.

“Siasatan awal kejadian yang berlaku 8.30 pagi itu dipercayai akibat hilang kawalan namun siasatan lanjut masih dijalankan dan saksi diminta menghubungi Jabatan Trafik Segamat di talian 07-9325811 bagi membantu kes siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 10:18 PM