PUTRAJAYA 13 JUN 2019. Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin semasa sidang media isu melibatkan pegawainya Haziq Abdullah Abdul Aziz digantung kerja serta-merta di Kementerian Industri Utama. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


TIMBALAN Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan beliau tidak mempunyai agenda tertentu berhubung pelantikan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai Setiausaha Sulit Kanan di kementeriannya enam bulan lalu.

Shamsul Iskandar menyeru pihak yang membuat tohmahan tidak berasas dan fitnah liar kononnya beliau ada agenda tertentu dengan pelantikan itu supaya menghentikan tuduhan berkenaan.

“Saya menolak sebarang politik kotor yang ingin mencemarkan nama baik pemimpin ataupun individu.

“Berilah ruang kepada pihak berwajib untuk menyiasat isu itu dan marilah kita memberi tumpuan kepada perkara lebih utama dan menjadi kepentingan rakyat.

“Saya terpanggil memberikan penjelasan sekali lagi selepas mengambil kira perkembangan terkini dan juga wacana di media sosial yang mengecam saya kerana menerima Haziq bekerja di Kementerian Industri Utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Haziq mula memohon untuk bekerja di kementerian selepas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau yang pertama meletakkan jawatan.

Shamsul Iskandar berkata, beliau ada menerima beberapa permohonan lain untuk jawatan berkenaan namun memilih Haziq berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan juga keperluan Kementerian Industri Utama untuk wakil daripada Sarawak dan Sabah.

“Dia (Haziq) secara strategiknya adalah calon sesuai untuk jawatan berkenaan.

“Ingin sekali lagi saya tekankan bahawa tindakan beliau ini sangat mengejutkan dan tentunya sama sekali tidak diduga,” katanya.

Katanya, Haziq mempunyai sejarah yang agak lama dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan menyertai parti pada usia 19 tahun.

“Saya mula mengenalinya sekitar 2012 yang mana beliau pada ketika itu pengasas dan presiden Mahasiswa KEADILAN Universiti Malaya sebuah sayap penuntut parti KEADILAN.

“Sebelum dilantik bekerja di Kementerian Industri Utama, beliau juga pernah terbabit dengan beberapa pimpinan KEADILAN di antaranya menjadi pelatih (intern) di firma guaman YB Baru Bian, sekarang ini Menteri Kerja Raya; pelatih bersama Lawyers for Liberty (Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendran); pelatih INVOKE (Rafizi Ramli); pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co.

“Beliau juga pernah membantu saya dalam hal berkaitan penyelidikan parlimen dan juga penghubung kepada pemimpin muda dalam KEADILAN,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata, Haziq pernah membuat akuan bersumpah memaklumkan beliau tidak pernah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan ia disahkan Datuk Awang Bujang Awang Antek, Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak.

“Pembabitan beliau dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri hanyalah sebagai seorang pelatih Perdana Fellow.

“Saya juga difahamkan Penasihat Utama KEADILAN Sarawak bahawa Haziq tidak pernah keluar dari parti KEADILAN,” katanya.

Baru-baru ini, Haziq mendakwa beliau adalah individu yang bersama-sama seorang menteri kanan dalam beberapa siri video lucah yang mula tersebar sejak minggu lalu.

Berita berkaitan:

  • Polis tak sekat pasport Haziq

  • PKR tak hukum Haziq lagi, tunggu siasatan [METROTV]

  • Haziq bebas dengan jaminan polis [METROTV]

  • Mohamed Azmin akan dipanggil kes video lucah
  • Haziq jalani pemeriksaan di HKL
  • Lebih 3 jam beri keterangan polis
  • Ditahan sebelum berlepas ke Manila
  • Haziq ditahan di KLIA
  • Muhammad Hilman pula buat laporan polis
  • Dalang penyebaran video lucah dicari
  • SKMM sedia bantu siasatan - Gobind
  • Hindari sebarang bentuk fitnah- Mufti WP
  • Hilman nafi tuduhan Haziq
  • Haziq dakwa diugut setiausaha politik Mohamed Azmin
  • Haziq Abdullah digantung tugas serta-merta
  • Polis buka kertas siasatan
  • Saya kenal dari jauh - Mohamed Azmin
  • Setiausaha Politik Mohamed Azmin buat laporan polis
  • 'Saya tak rasa ia benar'
  • Azmin nafi terbabit video lucah
  • 'Saya tak tau apa pun...'
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 9:22 PM