Penduduk terpaksa keluar lebih tiga kilometer untuk mendapatkan liputan telefon bimbit. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


MASALAH pemancar menara telekomunikasi yang rosak di Padang Terap sehingga menyebabkan penduduk di lima kampung di situ terjejas akan diselesaikan segera dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu.

Pengerusi Forum Pengguna, Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, perkara itu dinyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepadanya hari ini.

“Saya sudah menghubungi SKMM untuk mendapatkan jawapan daripada mereka mengenai masalah di kawasan itu, mereka berjanji akan selesaikan secepat mungkin.

“Ia berpunca daripada masalah teknikal dan ia perlu dibaiki menerusi kontraktor yang dilantik, saya sebagai pengerusi CFM dan Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) akan memantau masalah ini supaya pengguna kembali mendapat liputan telefon bimbit dan Internet,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Yusrizal berkata, beliau turut difahamkan masalah gangguan pemancar menara telekomunikasi bukan saja berlaku di Padang Terap tetapi turut berlaku di beberapa daerah lain di Kedah.

Lebih 1,000 penduduk kampung itu terjejas dan menanggung kerugian apabila liputan telefon bimbit tergendala selepas menara telekomunikasi tidak berfungsi sejak dua minggu lalu.

Kampung terbabit adalah Kampung Berjaya, Kampung Sungai Mas, Kampung Sukamari, Kampung Sungai Siput dan Kampung Sungai Pisang.

Berikutan itu penduduk terpaksa keluar sejauh tiga kilometer (km) hanya semata-mata untuk mendapatkan liputan telefon bimbit dan Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:45 PM