KETUA Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (tengah) pada sidang media, di IPK Johor, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS Johor menegaskan sebanyak 87 kes orang hilang dilaporkan sudah kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, walaupun tidak menafikan 143 kes orang hilang tahun ini seperti dilaporkan sebuah akhbar sebelum ini, namun 87 kes daripada jumlah itu sudah selesai.

“Kita tidak menafikan 143 kes orang hilang tetapi selepas semakan dibuat, ia hanya berbaki 56 orang sahaja lagi iaitu berusia 18 tahun ke bawah dan kita masih meneruskan lagi usaha mengesan mereka yang hilang ini.

“Sebanyak 87 orang hilang sudah kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat sama ada dengan bantuan polis atau pulang sendiri.

“Cuma, masalah kita apabila mereka yang pulang sendiri ini tidak melaporkan semula kepada pihak polis, setidak-tidaknya kita dapat merekodkannya (penemuan),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, siasatan ke atas 87 kes yang sudah kembali ke pangkuan keluarga mendapati faktor penyumbang mereka melarikan diri adalah disebabkan keluar rumah mengikut rakan atau kekasih serta tekanan perasaan akibat isu kekeluargaan.

Katanya, bagi 56 kes orang hilang yang masih belum dijumpai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 15 kes diikuti IPD Kulai dengan 10 kes.

“Bagi IPD lain, Johor Bahru Selatan (JBS) tujuh kes, Iskandar Puteri (lapan), Seri Alam (lima), Batu Pahat (dua), Kluang (dua), Kota Tinggi (empat), Segamat (satu), Pontian (dua), manakala Muar, Tangkak dan Mersing, tiada kes,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya membantu menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui keberadaan kes-kes orang hilang serta tidak mudah mempercayai dakwaan ditularkan yang hanya mendatangkan kegusaran.

“Banyak video atau dakwaan yang tular mengenai orang hilang dikaitkan dengan penjualan organ dan sebagainya, itu semua tidak benar. Itu hanya akan buat orang ramai bimbang dan gusar,” katanya.

Bulan lalu, sebuah akhbar melaporkan Johor mencatat kehilangan tertinggi dengan 143 orang hilang, diikuti Selangor 140, Kuala Lumpur 115, dan Sabah sebanyak 99 orang.

Dilaporkan, menurut semakan dalam laman web Kanak-kanak Hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 831 kanak-kanak hilang di seluruh negara pada tempoh 2010 hingga Mei lalu.

Sebanyak 60 orang dikategorikan sebagai kes kehilangan terkini bagi tempoh laporan dari 10 Februari 2018 hingga 26 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:56 PM