GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


GURU berusia 59 tahun antara dua lelaki yang ditipu sindiket penipuan membabitkan wang tunai berjumlah RM11,800.

Guru di sebuah sekolah di Kepala Batas itu kerugian RM6,800 selepas terpedaya dengan iklan pinjaman tidak wujud yang dimuat naik di laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa melihat iklan di Facebook yang menawarkan pinjaman wang segera dan mahu membuat pinjaman sebanyak RM60,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat mempercayai agensi pinjaman wang tidak wujud itu, mangsa membuat beberapa bayaran kononnya bagi tujuan proses dan kos pinjaman.

“Mangsa memindahkan semua wang simpanan miliknya ke akaun suspek dengan harapan menerima wang pinjaman dengan cepat, namun menyedari ditipu apabila gagal memperoleh wang yang mahu dipinjam,” katanya.

Dalam satu lagi kejadian, pekerja swasta berusia 29 tahun kerugian RM5,000 selepas diperdaya sindiket menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai rakannya untuk meminjam wang.

Beliau berkata, mangsa yakin dan percaya dengan penjelasan suspek sebelum memindahkan wang ke dalam akaun ahli sindiket yang menyamar sebagai rakannya itu.

Katanya, suspek menipu mangsa kononnya wang yang dipinjam itu akan dipulangkan dalam kadar segera.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila berhubung dengan rakannya dan diberitahu dia tidak pernah bercakap mahu meminjam wang.

“Berdasarkan kedua-dua kes, mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek namun hanya percaya melalui media sosial dan perbualan telefon,” katanya.

Menurutnya, mangsa sedar ditipu apabila dia gagal menerima semula wang yang diserahkan kepada suspek.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 3:07 PM