Goh Pei Pei
peipei@nstp.com.my


PKR tidak akan mengambil tindakan terhadap Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz sehingga siasatan polis selesai.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedar ada beberapa perkara untuk parti itu membuka siasatan terhadap Haziq dan mereka yang membocorkan data pemimpin serta ahli parti.

“Kami menolak politik kotor tetapi saya tidak akan menghukumnya (Haziq) sebelum polis menyelesaikan siasatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Semarak Aidilfitri dan sambutan Gawai Dayak PKR di Kompleks Belia dan Sukan di Kuching, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menegaskan perlunya tindakan itu jika parti merancang untuk kekal relevan.

Mengenai isu membocorkan data pemimpin serta ahli parti, Anwar berkata, data ahli PKR ada diberikan kepada calon parti pada pilihan raya umum yang lalu.

Beliau berkata, biro politik parti itu memutuskan untuk memberikan data kepada mana-mana calon yang bertanding di bawah tiket PKR untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada 900,000 anggota PKR di seluruh negara, untuk lebih bersedia dalam pilihan raya.

“Saya akan mengatakan terdapat ratusan atau bahkan ribuan akses (kepada data ahli kami) sejak 2018.

“Jadi, (seperti yang saya katakan) adalah yang terbaik untuk menyerahkannya (tindakan) kepada polis,” katanya.

Anwar juga percaya siasatan kes video seks yang mengaitkan Haziq dengan Mohamed Azmin akan dijalankan secara profesional dan mengikut prosedur operasi standard polis.

“Kami hanya boleh menentukan apa yang perlu dilakukan apabila ada hasil daripada polis atau beberapa jenis bukti,” katanya.

Selasa lalu, negara digemparkan dengan beberapa klip video lelaki yang terbabit seks songsang.

Keesokannya, Haziq mengakui bahawa dia adalah individu dalam video itu dan mendakwa pasangannya dalam rakaman video itu adalah Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin, bagaimanapun, menafikan dakwaan itu, sebaliknya mendakwa ia adalah sebahagian daripada plot untuk menjatuhkan reputasi dan membunuh kerjaya politiknya.

Haziq digantung tugas rasmi oleh Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Haziq turut ditahan polis ketika hendak menaiki pesawat ke Manila, Filipina, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada hari Jumaat lalu, kira-kira 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 11:11 PM