ANGGOTA APM melakukan kerja pembersihan di lokasi kejadian. FOTO ihsan APM
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


DUA keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Masin, Batang Kali, selepas rumah mereka rosak akibat dihempap pokok, semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi, hujan lebat dan angin kencang di sekitar daerah berkenaan mengakibatkan beberapa pokok tumbang lalu menghempap rumah mangsa, masing-masing di Seksyen 2, Bandar Utama Batang Kali dan Kampung Genting Malik.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Selangor Kapten Pertahanan Awam Hilmi Husman berkata, kejadian itu menyebabkan kerosakan teruk kepada kedua-dua kediaman mangsa.

Beliau yang juga merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkata, rumah pertama di Seksyen 2 dihuni tujuh ahli keluarga, manakala rumah kedua di Kampung Genting Malik dihuni empat individu.

“Lokasi pertama kejadian di Seksyen 2 yang mana sebuah rumah penduduk dihuni tujuh ahli keluarga mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung akibat dihempap pokok.

“Manakala, lokasi kedua di Kampung Genting Malik membabitkan sebuah rumah dihuni empat sekeluarga yang dianggarkan mengalami 80 peratus kerosakan akibat dihempap pokok besar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, semua mangsa yang terjejas akibat kejadian itu dipindahkan dan ditempatkan di PPS Balai Raya MPKK Sungai Masin selepas kejadian dan sehingga pagi tadi, masih ditempatkan di premis itu.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor menggerakkan anggota dan aset ke lokasi terjejas bagi melakukan kerja pembersihan kesan pokok tumbang dan ia sudah selesai petang semalam.

“Bagaimanapun, keadaan rumah masih belum dibaiki dan menunggu tindakan selanjutnya. Beberapa agensi lain turut bersama di lokasi kejadian antaranya Unit Pengurusan Bencana Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Anggota APM dan sebuah ambulans APM turut ditempatkan di PPS bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Selangor bagi membantu dan memastikan segala urusan di PPS berjalan lancar dan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 12:17 PM