HASANUDDIN Hassan. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


BAKI empat mayat Orang Asli suku Batek terakhir yang ditemui dalam Operasi Batek, semalam dijangka dibawa keluar hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ia bergantung kepada keadaan cuaca di kawasan terbabit dan semua mayat terbabit termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 bulan akan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Katanya, pasukan terbabit terdiri daripada 12 orang terdiri daripada pasukan forensik dan Orang Asli sudah memulakan operasi sejak pagi ini.

“Pasukan yang masuk hari ini untuk membawa keluar semua mayat itu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mereka.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan cuaca. Jarak perjalanan juga mengambil masa empat hingga lima jam dansekiranya keadaan cuaca buruk yang boleh mengundang risiko kepada mereka, kemungkinan ia akan ditangguhkan.

“Setakat maklumat yang saya peroleh, semua mayat itu dijangka boleh dibawa keluar hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, hampir semua 12 mayat yang ditemui sama ada di pelantar di atas pokok dan berada di tanah dalam keadaan sudah tidak sempurna.

“Ia lebih kepada tulang, rata-ratanya tidak cukup lengkap. Ada tulang separuh, ada daging sedikit, begitulah gambaran diberi oleh pasukan yang terbabit dalam operasi ini.

“Selepas proses membawa keluar mayat selesai, kita akan merakam keterangan daripada waris untuk sahkan mayat itu dan kita masih cuba mencari seorang waris satu daripada 12 mayat ini yang masih belum ditemui,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, perkampungan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang akan terus ditetapkan sebagai zon merah biarpun semua 12 mayat sudah ditemui.

“Zon merah akan diteruskan sehingga dapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (untuk buka semula),” katanya.

Ditanya berhubung siasatan aktiviti perlombongan haram yang dikatakan berlaku di kawasan itu, Hasanuddin berkata, ia tetap diteruskan untuk mengesahkan perkara itu.

“Kini kita lebih menjurus kepada pencarian mayat Orang Asli, yang lombong itu akan masuk ke fasa lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 11:28 AM