ANTARA individu ang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di Kota Kinabalu. FOTO ihsan Polis
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


POLIS menahan 73 individu di Kota Kinabalu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam 22 siri serbuan Ops Sarang selama seminggu yang berakhir kelmarin.

Semua suspek berusia 19 hingga 64 tahun ditahan di Kampung Air, Sinsuran, pekan Inanam, Kampung Likas, Sembulan dan Manggatal oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, 31 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala 40 lagi didapati positif dadah dan dua membabitkan bekalan dan pengedaran dadah.

“Daripada 73 tangkapan itu, 60 suspek warga tempatan manakala 13 lagi adalah warga asing.

“Sepanjang tempoh operasi itu, polis merampas 16.22 gram dadah jenis syabu manakala 5.06 gram dadah jenis Ketamin. Nilai rampasan RM3,192 mengikut harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Habibi berkata, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Katanya, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa bagi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Malah sebagai langkah untuk mengurangkan masalag penagihan, BSJN IPD Kota Kinabalu berjaya menahan seramai 41 penagih berulang sepanjang Januari hingga Jun 2019.

“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 39C(1) ADB 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 10:49 AM