Mohd Taufik pada sidang media di Ladang Aring 10, Kuala Koh hari ini. FOTO Fathil Asri
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


POLIS hari ini menemui empat mayat terakhir Orang Asli suku Batek yang dipercayai meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru.

Penemuan empat mangsa terakhir itu menjadikan 12 mayat sudah ditemui sejak Ops Batek bermula Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, empat mayat berkenaan ditemui dan ditanda selepas lebih dua jam perjalanan menggunakan bot menyusuri Sungai Lebir dan satu jam berjalan kaki.

Katanya, jarak lokasi antara empat mayat berkenaan mengambil masa 15 minit daripada dua mayat pertama.

“Identiti mayat mangsa dipercayai Haikal Rahim, 22; Farah Rahim, 20; Puspa Lee, 4 dan Ameer Lee berusia setahun.

“Setakat ini 12 mayat sudah ditemui dan kita akan membawa keluar secara berperingkat dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Felda Aring 10, Gua Musang hari ini.

Pada masa sama, Mohd Taufik berkata, satu lagi mayat dikenali sebagai Mek Nab Tebu berusia 60 tahun dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat.

Katanya, mayat Mek Nab ditemui Rabu lalu dan dipercayai meninggal dunia 2 Mei lalu.

“Sepatutnya hari ini kita bawa keluar tiga mayat namun tidak berjaya berikutan awal pagi tadi hujan lebat dan operasi membawa keluar mayat akan diteruskan esok,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 6:24 PM