Zainab menunjukkan keadaan anaknya yang menghidap penyakit kulit seluruh badan. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


HATI ibu mana tidak menangis apabila melihat anaknya yang sebelum ini berlari riang, ceria tiba-tiba tidak mampu berjalan selepas kedua-dua kakinya menghidap penyakit gatal.

Namun bagi Zainab Othman, 33, dia tetap tabah menghadapi ujian Allah SWT apabila anak ketiganya, Nurhana Umairah Abdul Rahim, 3, terlantar kerana menghidap penyakit gatal yang dialaminya sejak sebulan lalu.

Menurutnya, anaknya mula gatal ketika berusia dua tahun dan hanya pada badan saja.

“Bagaimanapun sejak sebulan lalu penyakit kulit ini merebak dari seluruh badan sehingga kepala.

“Paling teruk apabila kedua-dua kakinya berkudis serta membengkak dan bernanah sehingga tidak boleh berjalan.

“Anak asyik menangis kerana sakit dan gatal malah kulit mengelupas selepas digaru,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, Baling hari ini.

Katanya, dia dan suami, Abdul Rahim Che Sa, 35, sudah membawa anak mereka berubat di merata tempat termasuk perubatan moden dan tradisional tetapi penyakitnya tidak berubah.

Zainab berkata, pada mulanya Nurhana Umairah hanya gatal-gatal kecil saja pada badan sebelum mengambil ubat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

“Selepas habis makan ubat yang diberikan penyakitnya berjangkit semula ke seluruh badan dan paling teruk sejak sebulan lalu apabila merebak kedua-dua kaki.

“Dia menggaru sehingga berdarah kerana terlalu gatal dan terasa sakit selepas itu sehingga ditahan di wad selama seminggu sebelum Aidilfitri di Hospital Baling (HB),” katanya.

Katanya, keadaan penyakit anaknya tidak berubah dan semakin teruk terutama pada kedua-dua kaki.

“Semakin hari semakin teruk dan saya hanya menyapu krim serta makan ubat yang diberikan doktor bagi menahan sakit dan gatal, ” katanya.

Zainab yang juga suri rumah bergantung kepada suami yang mencari rezeki dengan menjual kopi kampung diproses sendiri.

“Saya terpaksa menjaga anak yang sakit dan dua lagi yang masih bersekolah rendah.

“Saya tidak dapat membantu suami untuk mencari rezeki bagi merawat anak dengan perkhidmatan rawatan yang lebih baik.

“Kalau ada yang dapat membantu merawat anak... saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kasihan melihat keadaannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 4:31 PM